BLOGGER TEMPLATES AND MySpace 1.0 Layouts »

Monday, August 23, 2010

Fiqh Hutang-Piutang Harta

FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

Bahagian A:

Fiqh Hutang-Piutang Harta

Fiqh Hutang-Piutang Harta

Pertama: Tidak Digalakkan Berhutang.

Pada dasarnya kita umat Islam tidak digalakkan berhutang. Ini merujuk kepada sikap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang keberatan melaksanakan solat jenazah bagi mayat yang masih memiliki tanggungan hutang. Lebih dari itu baginda pernah menyatakan:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلاَّ الدَّيْنَ.

Diampunkan bagi seorang (yang mati) syahid semua dosanya kecuali hutang.[1]

Pada ketika yang lain baginda bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ

لَوْ أَنَّ رَجُلاً قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ أُحْيِيَ

ثُمَّ قُتِلَ ثُمَّ أُحْيِيَ

ثُمَّ قُتِلَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ

مَا دَخَلَ الْجَنَّةَ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ دَيْنُهُ.

Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya,

bahawa seseorang yang terbunuh di jalan Allah lalu hidup,

kemudian terbunuh lagi lalu hidup,

kemudian terbunuh lagi lalu hidup (mati syahid tiga kali) padahal dia memiliki tanggungan hutang,

dia tidak akan memasuki syurga sehinggalah hutang itu dibayar.[2]

Baginda menyatakan sedemikian sekalipun mati syahid adalah ganjaran paling besar yang mampu diperoleh seseorang. Bukti lain Islam tidak menggalakkan hutang ialah doa yang lazim dibaca oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ

وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ.

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kesusahan, kesedihan,

kelemahan, kemalasan, (sikap) kedekut, (sikap) pengecut, lilitan hutang dan dikuasai oleh orang lain.[3]

Tidaklah baginda meminta perlindungan daripada sesuatu melainkan perkara itu memiliki keburukan di dunia dan akhirat. Termasuk keburukan yang baginda minta perlindungan darinya, sepertimana hadis di atas, ialah hutang. A’isyah radhiallahu 'anha pernah menerangkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ.

فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ مِنْ الْمَغْرَمِ؟

فَقَالَ: إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.

Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazimnya berdoa di dalam solat:

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari azab kubur,

aku berlindung kepada Engkau dari fitnah al-Masih al-Dajjal,

aku berlindung kepada Engkau dari fitnah kehidupan dan fitnah kematian.

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari dosa dan hutang.”

Lalu seseorang bertanya: “Apa yang menyebabkan anda banyak berlindung dari hutang?”

Baginda menjawab: “Sesungguhnya seorang yang berhutang (lazimnya)

apabila berbicara dia berdusta dan apabila berjanji dia memungkirinya.”[4]

Pada masa kini terdapat satu bentuk jual-beli secara berhutang yang berlaku secara meluas, iaitu jual beli melalui kad kredit. Jual-beli cara ini menyebabkan banyak orang berhutang dalam jumlah yang tinggi dan tidak dapat membayarnya. Ini sebagaimana yang lazim dilaporkan dalam berita tempatan. Justeru minimumkanlah penggunaan kad kredit kepada suasana yang benar-benar perlu sahaja.

Kedua: Tidak Melibatkan Riba.

Hutang-piutang dalam Islam tidak boleh melibatkan riba. Sebelum ini dalam Bahagian A: Fiqh Mencari Harta, telah diterangkan kesalahan besar riba. Berikut perincian tentang riba dari sudut hutang-piutang:

  1. Riba bermaksud tambahan sebagaimana yang dapat diperhatikan dalam ayat berikut:

Iaitu masing-masing menderhaka kepada Rasul (yang diutuskan oleh) Tuhan mereka,

lalu Allah menyeksa mereka dengan azab yang sentiasa bertambah (riba).

[al-Haqqah 69:10]

  1. Riba dalam pinjaman ialah apa-apa lebihan, sama ada sedikit atau banyak, yang diambil di atas harta pokok di dalam satu hutang-piutang. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.

[al-Baqarah 2:279]

Oleh itu apabila Anuar meminjamkan RM500.00 kepada Zaid, tidak boleh mensyaratkan bayaran balik RM700.00 kerana tambahan RM200.00 ialah riba. Bayaran balik tetap harta pokok, iaitu RM500.00

  1. Riba mungkin disyaratkan oleh pemiutang, penghutang atau kedua-duanya. Contoh:

  • Kamarul meminjamkan RM100.00 kepada Azmi dan mensyaratkan Azmi membayar balik RM120.00. Tambahan RM20.00 ialah riba.

  • Jamal meminjam RM200.00 daripada Zainal dan berjanji akan membayar balik dalam masa enam bulan. Apabila sampai tempoh matang (enam bulan), Jamal tidak dapat membayar pinjamannya. Lalu dia meminta Zainal melanjutkan tempoh dengan tawaran akan membayar Zainal RM300.00. Tambahan RM100.00 yang ditawarkan ialah riba.

  • Aishah meminjamkan Norasyikin RM1200.00 dan pinjaman ini akan dibayar secara ansuran bulanan RM110.00 selama 12 bulan. Tambahan RM10.00 setiap bulan ialah riba.

  1. Tidak dibezakan sama ada tambahan yang diambil di atas harta pokok adalah banyak atau sedikit. Jika Sakinah meminjamkan Maryam RM350.00, dia tidak boleh mensyaratkan bayaran balik RM350.01. Tambahan satu sen tetap merupakan riba yang diharamkan.

Sebahagian pihak beranggapan riba hanyalah tambahan berganda-ganda di atas harta pokok. Jika tambahan hanya sedikit dan memadai, maka ia bukan riba. Anggapan ini disandarkan kepada ayat:

Wahai orang-orang yang beriman!

Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda,

dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

[‘Ali Imran 3:130]

Perkataan berlipat-lipat ganda difahami sebagai tambahan yang banyak. Justeru tambahan yang sedikit dibolehkan.

Anggapan atau fahaman ini adalah salah. Ini kerana berlipat-lipat ganda yang dimaksudkan ialah riba yang asalnya kecil kemudian menjadi semakin besar tahun demi tahun kerana kegagalan peminjam membayar kepada penghutang. Perkara ini akan dapat kita fahami dengan tepat dengan merujuk kepada praktik riba pada zaman ayat di atas diturunkan. Zaid bin Aslam radhiallahu 'anh menerangkan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh anaknya:

Sesungguhnya riba pada zaman jahiliyah merupakan gandaan di atas gandaan umur haiwan.[5] Ketika sampai tempoh matang, pemiutang akan berkata kepada penghutang: “Bayarlah aku atau tambahkan nilai hutang.” Maka jika penghutang memiliki sesuatu, dia akan membayarnya. Jika tidak, ditambah umur haiwan yang akan dibayar.

…demikianlah juga terhadap hutang harta, jika penghutang tidak dapat membayar, ia digandakan. Jika penghutang masih tidak dapat membayar, ia akan digandakan daripada seratus kepada dua ratus dan jika dia masih tidak dapat membayar, ia digandakan lagi menjadi empat ratus. Begitulah ia digandakan setiap tahun.[6]

Oleh itu riba yang berlipat-lipat ganda bukanlah tambahan RM1000.00 di atas pinjaman RM500.00 tetapi apa jua tambahan, sekalipun sedikit, yang akan semakin bertambah kadarnya tahun demi tahun. Ayat 130 surah Ali Imran tidak terpisah dari ayat 279 surah al-Baqarah: Maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. Kedua-duanya saling berkaitan dengan pengharamkan riba, sama ada sedikit atau berlipat ganda. Pemiutang hanya boleh mengambil balik harta pokoknya tanpa sebarang tambahan.

  1. Tujuan diharamkan riba ialah kerana ia menzalimi penghutang dan pemiutang. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah meninggalkan riba),

maka ketahuilah kamu akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya.

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.

(Dengan yang demikian) kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi.

[al-Baqarah 2:279]

Kamu tidak menzalimi… bererti pemiutang tidak menzalimi penghutang kerana jika pemiutang mensyaratkan riba, dia sebenarnya menyusutkan kedudukan kewangan penghutang yang pada saat itu dalam keadaan kekurangan.

…dan tidak dizalimi bererti penghutang tidak menzalimi pemiutang kerana jika penghutang setuju mengambil riba, dia sebenarnya menyusutkan harta pemiutang yang pada saat itu dalam keadaan berlebihan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Allah susutkan (harta yang diperoleh melalui) riba

dan Dia mengembangkan (harta yang dikeluarkan melalui) sedekah.

[al-Baqarah 2:276]

  1. Pinjaman tanpa riba, yang disebut sebagai Qardh Hasan, ditujukan kepada orang yang tidak berharta atau kepada orang yang ingin membina asas kehidupan seperti yuran pelajaran, belanja perkahwinan, membeli rumah pertama, membeli kereta pertama dan membayar kos perubatan. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengumpamakan Qadr Hasan sebagai:

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah

sebagai pinjaman yang baik – Qardh Hasan – supaya Allah melipatgandakan (bayaran) kepadanya

dengan berganda-ganda banyaknya?

Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan

(pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

[al-Baqarah 2:245]

Bagi orang berharta yang ingin berhutang atas sebab-sebab tertentu yang tidak berkaitan dengan asas kehidupan, maka Islam memiliki kaedah-kaedah pembiayaan tersendiri yang bebas daripada riba.

  1. Semua orang yang terlibat dalam hutang-piutang riba dianggap memakan riba. Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا

وَمُؤْكِلَهُ

وَكَاتِبَهُ

وَشَاهِدَيْهِ

وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaknat orang yang mengambil (hutang secara) riba,

yang memberi (hutang secara) riba,

yang menulis (perjanjian hutang piutang itu)

dan yang menjadi saksi (perjanjian hutang piutang itu).

Baginda menyatakan mereka semua sama sahaja.[7]

Ketiga: Mencatit Rekod Hutang.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang

yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis

(hutang dan masa bayarannya) itu.

Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)

dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.

Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan

(isi surat hutang itu dengan jelas).

Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya,

dan janganlah dia mengurangkan sesuatupun dari hutang itu.

Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah

atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu),

maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar.

Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki,

maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi,

supaya jika seorang dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu lupa

maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu,

sama ada kecil atau besar jumlahnya.

Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi,

dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri,

maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli.

Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.

Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu),

maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu.

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah;

dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu;

dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang),

sedang kamu tidak mendapati jurutulis,

maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang

(oleh orang yang memberi hutang).

Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang

(dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian),

maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu

menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya

dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.

Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi)

menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.

Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya.

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

[al-Baqarah 2:282-283]

Beberapa pengajaran penting daripada ayat di atas:

  1. Hendaklah dicatit atau ditulis rekod antara pemiutang dan penghutang: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.

  2. Janganlah menjadi jemu atau menganggap remeh urusan mencatit hutang-piutang. Hendaklah dicatit sekalipun terhadap hutang-piutang yang kecil jumlahnya:Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.

  3. Disamping mencatit, hendaklah hadir dua lelaki yang menjadi saksi bagi urusan hutang-piutang. Jika tidak ada lelaki, maka digantikan dengan dua orang perempuan bagi setiap seorang lelaki: Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi.

Menggantikan seorang saksi lelaki dengan dua orang saksi perempuan bukanlah bererti Islam mensetengahkan kedudukan perempuan berbanding lelaki akan tetapi demi memudahkan peranan perempuan sebagai saksi: supaya jika seorang dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu lupa maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

Ini sebagaimana solat Zohor empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat ketika musafir (qasar), ia tidaklah bererti mensetengahkan kedudukan solat fardhu akan tetapi demi memudahkan orang yang sedang dalam perjalanan.

  1. Jika hutang-piutang tidak dapat ditulis, seperti ketika dalam keadaan musafir, maka hendaklah penghutang memberikan barang gadaian kepada pemiutang: Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).

  2. Pengecualian diberikan kepada pemiutang dan penghutang yang saling amanah antara satu sama lain:Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.




[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1886 (Kitab al-Imarah, Bab sesiapa yang terbunuh di jalan Allah dihapuskan segala kesalahannya kecuali hutang).

[2] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Nasa‘i dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa‘i, hadis no: 4698 (Kitab al-Buyu’ Bab penegasan berkenaan hutang).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6363 (Kitab al-Du‘awat, Bab memohon perlindungan daripada dikuasai oleh orang lain).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 832 (Kitab al-Azan, Bab doa sebelum memberi salam).

[5] Yakni apabila meminjam haiwan ternak yang kecil umurnya, hendaklah dibayar dengan haiwan ternak yang lebih dewasa umurnya.

[6] Dikeluarkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an (Dar al-Fikr, Beirut, 1999), riwayat no: 6206.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1598 (Kitab al-Musaqat, Bab dilaknat orang yang mengambil riba…)


sumber www.hafizfirdaus.com

HUTANG MANUSIA

Manakala hutang kepada manusia pula yang melibatkan daripada beberapa institusi kewangan dalam pelbagai pembiayaan dan pihak-pihak induvidu juga tidak kurang sama keadaannnya...

Namun dalam dua kontek di atas yang manakah lebih penting untuk dijelaskan?

Berpandukan ayat Allah dan hadis nabi yang tersebut, penulis tidak bercadang untuk membahas dengan lebih panjang lagi berkenaan hutang terhadap Allah tetapi cukuplah sebagai renungan buat kita semua bahawa hutang terhadap Allah dan manusia adalah sama penting untuk dijelaskan. Jika selama ini kita lebih fokus dan menyibukkan hutang yang melibatkan kepada manusia sahaja betapa pula hutang kepada Allah yang sudah tentu lebih penting lagi untuk kita fokus daripada hamba-hambaNya!

Berbalik kepada persoalan hutang sebagaimana yang disebutkan di atas penulis hanya akan membahaskan hutang yang melibatkan manusia kepada manusia khasnya antara pemiutang dan penghutang dalam aspek adab, dosa dan pahala dan sebagainya.

1.Pemiutang

Berkata Lukman Al-Hakim kepada anaknya :

"Elakkanlah dirimu dari berhutang kerana hutang itu akan menjadikan dirimu hina pada waktu siang dan gelisah pada waktu malam." ( Luqman Al-Hakim)

Merujuk kata-kata di atas benarlah apa yang dikatakan oleh Lukman Al-Hakim bahawa orang-orang yang terlibat dalam hutang yang keterlaluan akan menyebabkam mereka mendapat tekanan sosial samada menjadi bahan cercaan orang ramai mahu pun kekerasan daripada penghutang pada siang harinya. Sementara pada malam harinya pula fikirannya sentiasa terganggu dan sekaligus tiada ketenangan dan keselesaan pada dirinya.Pendek kata secara umumya mengundang tekanan perasaan dan kepincangan sosial.

Hal tersebut pernah terjadi juga kepada sahabat Rasulullah SAW seperti yang bernama Abu Umamah dimana beliau telah ditimpa kesedihan dan dan kesusahan yang menyebabkan beliau merasa amat gelisah lantaran terlampau banyak hutang.

Walau bagaimanapun hal tersebut dapat dihidu oleh Rasulullah SAW sehingga baginda telah mengajarkan kalimat doa kepada Abu Umamah supaya dapat mengamalkan dalam seharian.Berkat dengan doa yang sentiasa diamalkan oleh Abu Umamah pada waktu siang dan malam, akhirnya terbuka jalan-jalan terbaik untuk menjelaskan hutang seluruhnya.

Ada pun doa yang dimaksudkan diatas seperti berikut:

"Ya Allah aku berlindung dari kesusahan dan kedukaan, dari lemah kemahuan dan malas, dari sifat pengecut dan bakhil, dari banyak hutang dan kezaliman manusia."

(Untuk lihat doa dalam bahasa arab klik di sini)

Adab Berhutang

Satu perkara dalam adab berhutang, seseorang itu hendak menulisnya atau membuat surat perjanjian jika berlaku dalam bayaran bertangguh dan menyatakan butir-butir yang berkenaan dengan disaksikan oleh saksi serta mendapat persetujuan daripada kedua belah pihak. Ini bagi menjaga kemaslahatan pada masa akan datang supaya tidak berlaku perkara-perkara yang boleh mencetuskan ketidakselesaan diantara penghutang dan pemiutang.

firman yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bermuamalah tidak secara bayar tunai, maka hendaklah kamu menuliskannya (mengadakan surat perjanjian)." (Surah Al-Baqarah : 282)

Roh tergantung dan kehinaan di akhirat kepada yang abai hutang !

Allah melalui firmanNya di atas telah menyarankan untuk menulisnya adalah bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang akan timbul nanti samada di dunia mahupun di akhirat. Sebagai contoh ada sesetengah individu yang meminjam terus lupa dan ada juga dengan niat untuk tidak memulangkan kembali lantaran tiada hitam putih yang dibuat diperingkat awal. Inilah yang akan mendatangkan masalah bukan sahaja di dunia bahkan bila mereka menemui Tuhannya nanti, roh mereka akan tergantung dan di akhirat pula mereka akan ditempatkan bersama dikalangan orang-orang yang rugi dan berada dalam lembah kebinasaan sebagaimana Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Roh orang mukmin akan tergantung dengan sebab hutangnya sehinggalah diselesaikan hutang tersebut" (Riwayat Ahmad,Al-Tarmizi,Ibn Majah & Al-hakim)

Sabdanya lagi yang bermaksud:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan." (HR. At-Tarmizi, Imam Ahmad dan Imam Ibnu Hibban)

Sementara dalam sabda Rasulullah SAW yang lainnya pula bermaksud:

"Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Sabda Baginda lagi yang bermaksud:

"Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan membinasakan dia." (Riwayat Imam Bukhari).

Sabdanya lagi yang bermaksud:

"Sesiapa juga yang berhutang dan dia bercita-cita tidak akan membayarnya, dia akan menemui Allah sebagai pencuri." (Hadis riwayat Ibn Majah dan Baihaqi).

Begitu juga jika mereka terbunuh dalam berperang melawan pihak musuh kafirin, mereka tidak akan mendapat kelebihan diampunkan dosa-dosanya yang lalu sebagaimana orang-orang yang mati syahid.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)." ( Riwayat Muslim, 6/38)

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat dan wajib dibayar meskipun dengan orang bukan Islam menurut pandangan Islam.

Oleh yang demikian jika pemiutang sudah mempunyai kelapangan untuk membayarnya adalah diwajibkan untuk menjelaskan dengan kadar yang segera sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya:

" Empat perkara yang harus disegerakan adalah: 1. Menyegerakan shalat. 2. Menghantar jenazah. 3. Berkahwin jika sudah mampu. 4. Membayar hutang. (Hadis)

Ada pun orang yang belum masih mampu sedangkan tempoh perjanjian sudah sampai maka perjanjian baru hendaklah dibuat keatas penghutang mengikut peraturan seperti diperingkat awal dahulu.

Manakala Jika penghutang itu sudah meninggal dunia dan pemiutang belum sempat menjelaskannya maka pemiutang hendaklah berurusan kepada ahli warisnya dan jika menemui jalan kesulitan pula hendaklah menyedekahkan atas namanya. Moga-moga pahalanya Allah akan sampaikan kepadanya. Selain daripada itu juga kita hendaklah berbuat kebaikan kepadanya seperti mendoakan mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosanya dan dengan demikian mudah-mudahan juga orang yang dimaksudkan itu akan memaafkan kita di akhirat kelak.

2. Penghutang

Firman Allah bermaksud:

"Siapakah yang mahu memberi pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan untuk mereka (balasan) pinjaman itu, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak." (Surah Al-Hadid: 11)

Ertinya memberi pinjaman dalam kontek atas dasar tolong menolong selain pinjaman daripada orang-orang yang berjihad kejalan Allah ia juga merupakan satu tuntutan dalam Islam.



Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu tolong menolong dalam perkara kebaikkan dan janganlah kamu tolong menolong dalam perkara yang berdosa..." (Al-Mai'dah: 2)

Allah menolong hambaNya yang menolong keatas hambaNya yang lain

Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan pertolongan dalam bentuk material contohnya adalah lebih utama daripada bersedekah. Orang yang menerima sedekah belum tentu mereka memerlukan tetapi orang yang memerlukan pertolongan terkadang amat memerlukan sangat! maka sebab itulah sesetengah orang sanggup berhutang kepada "Along" meskipun mengetahui akan resikonya demi memenuhi keperluan yang amat sangat berbanding penerima sedekah yang kita jarang dengar berhutang kepada "Along" kerana nak makan sesuap nasi...

Jadi memang tepat sekali apa yang ditawarkan oleh Allah SWT dalam ayat di atas bahawa ganjaran orang yang sedia memberi pinjaman dalam kontek menolong orang ketika dalam keperluan akan dikurniakan ganjaran atau pahala yang besar dan akan dilepaskan kesusahannya di dunia dan juga di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya:

"Barangsiapa yang menolong kesusahan orang mukmin di dunia, necaya Allah akan menolong kesusahannya di Akhirat. Dan barangsiapa yang memudahkan kesusahan orang di dunia, nescaya Allah akan memudahkan kesusahannya di dunia dan di Akhirat."(H.R Bukhari dan Muslim).

Rahmat dan diharamkan api neraka kepada yang berurusan secara berhikmah

Ada pun orang-orang yang menagih hutang secara lemah lembut dan berhikmah sesungguhnya Allah SWT akan memberikan rahmat dan dijauhkan dari api neraka di akhirat kelak

"Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual, membeli dan menagih hutang." (Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)

Sabda baginda lagi yang bermaksud:

"Mudah-mudahan Allah merahmati sorang lelaki yang toleran bila menjual, membeli dan menagih." (Shahih Al-Jami' Ash-Shaghir 3489)

Dalam hadis yang lainnya pula Rasulullah SAW telah bersabda:

"Maukah kalian saya beritahu tentang orang yang diharamkan masuk neraka besok di akhirat kelak? aitu orang yang lemah lembut, familiar dan mudah bertolak ansur." (Shahih Al-Jami' 2606)-->

Sabda Baginda lagi yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mempermudah, lemah lembut dan lunak (perangainya), maka Allah mengharamkan api neraka atasnya." (Shahih Jami' Ash-Shaghir 6360)

Rahmat kepada orang yang melanjutkan tempuh atau berbuat kebaikan

Begitu juga jika pemiutang tidak dapat memenuhi perjanjian asal atas sebab-sebab masih menghadapi kesukaran untuk membayarnya maka adalah lebih baik jika kita dapat memberi tempoh lanjutan lagi sehinggalah mereka berkelapangan. Namun jika kita berada dalam keselesaan adalah lebih baik lagi jika sedekahkan terus kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan jika orang yang berhutang itu dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan jika kamu sedekahkan maka itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 280)

Sementara dalam sebuah hadis pula Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa memberi tangguh orang yang kesulitan atau meletakkan hutangnya (dianggap lunas tanpa bayart), maka Allah akan menyelamatkannya dari kengerian di hari kiamat." (Hadit Riwayat Muslim : 1563)

Sabda baginda lagi yang bermaksud:

"Barangsiapa memberi tangguh orang yang kesulitan atau meletakkannya, maka Allah akan menaunginya di hari kiamat pada hari tiada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadits Riwayat Muslim : 3006)

Ganjaran seperti sedekah

Selanjutnya pula kebaikan budi seorang dengan menempuhkan atau melanjutkan masa pembayaran hutang seseorang kerana kepayahan atau kesusahannya merupakan satu sedekah. Selama mana tempuh yang diberikan selama itu jugalah menjadi sedekah kepada orang yang menolongnya.Hal ini pernah dikatakan dari Buraidah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda dengan mafhumnya:

"Barangsiapa menempuh orang yang payah maka baginya sedekah pada tiap-tiap hari sebelum masa pembayaran hutang. Kemudian apabila sampai masanya, lalu ditempuhnya lagi maka baginya sedekah yang seperti itu pada tiap-tiap hari." (Hadis marfu' dan sunan Ibnu majah)

Segala perbuatan yang baik adalah sedekah

Ada pun maksud sedekah itu tidaklah hanya terbatas dalam bentuk material sahaja malah boleh pula dengan yang lain termasuk melakukan apa jua kebaikan samada daripada perbuatan diri sendiri mahu pun kepada orang lain. Pendek kata kepada semua mahkluk Allah SWT sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis daripada riwayat Jabir bin Abdullah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang mafhumnya:

"Tiap-tiap kebaikkan adalah sedekah". (H.R Bukhari dan Muslim)

(Untuk detail berkenaan definisi sedekah klik di sini)

Pahala yang menghilangkan kebaikan

Meskipun kebaikan memberi kelapangan kepada orang-orang yang sedang dalam kesempitan itu merupakan satu sedekah namun pahala kebaikan itu akan terhapus dan bertukar menjadi dosa sekiranya pertolongan yang diberikan itu kita mengungkit-ngungkit atau menyebut-nyebut sesuatu sehingga menyakitkan atau menimbulkan ketidakselesaan kepada orang-orang yang berkenaan itu. Hal ini telah dinyatakan dalam Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menghilangkan pahala kebaikkan kamu dengan menyebut-nyebut atau dan menyakiti perasaannya seperti orang yang menafkahkan harta kerana riya' kepada manusia." (Al-Baqarah:264)

Justeru itu sebagai penghutang yang mempunyai kelebihan untuk mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT hendaklah kita bijak memeliharanya agar tidak terhapus sebagaimana terhapusnya amalan yang dilakukan kerana sikap ujub, riak dan sebagainya. Amalan tersebut Rasulullah SAW telah mengambarkan seumpama api yang membakar kayu lalu kayu itu menjadi abu dan akhirnya hilang dari pandangan diterbangkan angin.

Pun begitu kepada pemiutang pula hendaklah menyedari bahawa hutang yang sengaja tidak mahu dijelaskan akan membawa masalah selepas hari kematiannya dan di akhirat kelak pula akan dipertanggungjawabkan sehingga akan menjadi penghalang untuk memasuki syurga Allah SWT!

Mudah-mudahan dengan kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan amaran-amaran daripadaNya dalam fenomena hutang tersebut dapat memberi pengajaran kepada kita semua.

SUMBER www.demimasa.net

DOSA TAK DI AMPUN JIKA LENGAH BAYAR HUTANG

KONSEP berhutang menurut perspektif Islam ialah memberikan sesuatu kepada seseorang dengan perjanjian bahawa orang yang diberi pinjam itu akan membayar dengan kadar sama.

debtlock.gifAmalan berhutang kini menjadi persoalan biasa di kalangan masyarakat Islam. Sama ada ia atas nama pembiayaan peribadi, pelajaran, kereta, pemilikan kad kredit dan pelbagai skim ditawarkan syarikat perbankan, rata-rata ia memberi maksud hutang. Malah, kewujudan ‘Ah Long’ juga adalah mata rantai kepada urusan pinjaman dan hutang.

Persoalan hutang dan pinjam meminjam adalah antara perbahasan yang berada dalam ruang lingkup perspektif Islam dan ia terikat dengan hukum ditetapkan syarak. Ianya dibahas dan dikupas oleh sarjana Islam dalam kitab fiqh menerusi keterangan yang ada dalam ayat al-Quran dan Hadis Nabawiyah.

Firman Allah S.W.T bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya” (Surah al-Baqarah ayat 282).

Dalam ayat sama Allah melanjutkan Firman-Nya bermaksud:

“Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar, dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah, maka hendaklah ia menulis dan orang yang berhutang itu mengimlakkan (menyebutkan) mengenai apa yang ditulis itu dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan jangan ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya.

Jika berhutang itu orang lemah akalnya atau lemah keadaan dirinya atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkan, maka hendaklah walinya (penjaga) mengimlakkan butiran hutang itu dengan jujur. Persaksikanlah (urusan penulisan hutang itu) dengan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu, jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh dengan seorang saksi lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi yang kamu redhai supaya jika salah seorang lupa (butiran hutang piutang), maka seorang lagi boleh mengingatkannya”.

Ayat ini menjelaskan bahawa Islam membenarkan amalan berhutang dengan pelbagai syarat dan peraturan supaya kezaliman di antara manusia tidak berlaku dan urusan pinjaman berlaku secara adil dan reda meredai.

Secara dasarnya Islam membolehkan kepada seseorang untuk berhutang atas faktor yang memaksa seperti masalah kesempitan hidup. Namun begitu, perlu diperjelaskan di sini bahawa bebanan bakal diterima si penghutang adalah berat, terutama jika hutang tidak dibayar. Lebih berat jika dia meninggal dunia dalam keadaan hutang tidak dilangsaikan.

Kepada si pemberi hutang, sebenarnya kesudian memberi pinjam kepada orang lain adalah digalakkan terutama kepada mereka yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi. Orang yang memberi hutang termasuk dalam golongan mereka yang berhati mulia. Mereka memberi pertolongan kepada golongan yang memerlukan dan mereka akan diberi pahala daripada Allah.

Firman-Nya yang bermaksud :

“Dan bertolong-tolonglah kamu atas tujuan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah ayat 2)

Ia diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah bermaksud:

“Barang siapa melapangkan dari orang mukmin kedukaan dunia, nescaya Allah akan melapangkan dia dari satu kedukaan pada hari kiamat, dan barang siapa memudahkan atas orang yang susah, nescaya Allah akan memudahkan atasnya dalam urusan dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim - 032/6250)

Ketika menjelaskan hadis ini, Imam al-Nawawi dalam kitabnya Hadis 40 menyebut secara jelas satu contoh menarik iaitu mengenai adab berhutang. Beliau menyebut kemudahan kepada orang yang susah atau yang sempit jika dalam urusan hutang ialah memberi tempoh sewajarnya untuk pembayaran hutang selepas orang yang berhutang itu tidak berkemampuan membayarnya, malah lebih mulia lagi jika hutang itu digugurkan atau diberi beberapa kemudahan lain untuk menjelaskan hutang itu.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda seperti yang diriwayatkan Ibn. Mas’ud:

Seseorang Muslim yang memberi hutang kepada seorang Muslim sebanyak dua kali, seolah-olah dia bersedekah kepadanya satu kali”.

Perkara zalim dalam urusan hutang piutang mesti dielakkan dan dijauhkan seperti mengenakan riba’, faedah dan bunga yang tinggi kerana ia ternyata membebankan si penghutang. Lebih parah dengan kadar bunga yang terlalu tinggi menyebabkan berlaku nilai bunga yang sepatutnya dibayar semula jauh lebih tinggi daripada kadar wang dipinjam. Ia ternyata penganiayaan kepada manusia lemah dan tidak berkemampuan.

Kepada orang berhutang pula, sebaik-baiknya berusaha dengan tangan sendiri sebelum mengambil keputusan meminta-minta atau berhutang dengan orang lain. Orang yang suka berhutang seolah-olah menafikan kebolehan yang ada pada dirinya untuk berusaha sendiri mencari rezeki keperluan hidup.

Sebaik-baiknya cubalah elakkan diri daripada berhutang. Namun, apabila keadaan terlalu mendesak dan tiada jalan lain untuk memperoleh wang, maka di sinilah Islam membenarkan amalan berhutang.

Apabila sudah mula meminjam, aturkan jadual pembayaran hutang secara berterusan dan konsisten mengikut jadual serta menepati syarat perjanjian supaya tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari. Cuba elakkan daripada mengambil kesempatan melambat-lambatkan pembayaran hutang kerana ia bukan sahaja menyusahkan diri sendiri malah kepada orang yang memberi hutang.

Ada beberapa ingatan daripada Rasulullah kepada mereka yang berhutang, sama ada yang suka berhutang, melambat-lambatkan pembayaran hutang atau mereka yang tidak melangsaikan hutangnya.

Rasulullah turut memberi ingatan bahawa jika seseorang itu meninggal dunia, sedangkan dia masih berhutang, dosanya tidak akan diampunkan walaupun dia mati syahid dalam peperangan.

Seseorang yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat Bukhari – 41/585)

Sementara itu, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu ketika menurunkan jenazah dari atas rumah menuju ke tanah perkuburan, waris si mati akan mengumumkan kepada orang yang hadir supaya menuntut mana-mana hutang yang ditinggalkan si mati.

Berkaitan hutang juga, roh si mati hanya akan bebas selepas segala hutangnya dijelaskan oleh warisnya atau sesiapa yang sanggup mengambil alih untuk menjelaskan hutangnya itu seperti orang perseorangan mahupun baitulmal.


sumber nurjeehan.wordpress.com