BLOGGER TEMPLATES AND MySpace 1.0 Layouts »

Tuesday, May 4, 2010

Hutang Piutang Dalam Islam

KHUTBAH JUMAAT
7 Julai 2006
OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak

Tajuk : Hutang Piutang Dalam Islam

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat yang dirahmati sekalian, supaya sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan masing-masing, yakni bersungguh-sungguhlah melakukan segala yang diperintah Allah dan meninggalkan segala yang ditegah Tuhan. Mudah mudahan kehidupan kita berbahagia di dunia dan sejahtera di akhirat.

Bersempena dihari yang mulia ini, marilah kita memperkatakan satu tajuk yang jarang-jarang kita perkatakan, jarang kita sentuh, kerana takut sentuhan itu terkena keatas diri kita sendiri. Tetapi ianya perlu diperkatakan, kerana isu ini mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan seharian kita. iaitu mengenai hutang piutang dalam Islam.

Sidang jumaat yang dirahmati sekalian,

Sebagaimana yang sama-sama kita sedia maklum, bahawa setiap orang yang hidup bermasyarakat diatas dunia ini adalah tidak terlepas daripada hutang piutang, semada kita yang berhutang atau kita yang memberi hutang kepada orang lain. Kita berhutang biasanya kerana keadaan telah memaksa dan kita memberi hutang pula ialah kerana kita bertimbang rasa atas penderitaan orang lain, lebih lebih lagi kepada saudara seagama dan sebangsa, kerana sepertimana firman Allah SWT. yang berbunyi:

“Hendaklah kamu bertolong tolongan atas kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolongan diatas dosa dan permusuhan “….Al-Maidah a:2

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW :

"Allah sentiasa menolong hambanya, selama hamba itu menulung saudaranya”.

Dari maksud ayat al-quran dan hadis tersebut, sudah jelas bahawa konsep bermasyarakat dalam Islam hendaklah sentiasa tolong menolong diantara satu sama lain, bahkan menjadi kesalahan dan berdosa, sekiranya kita tidak mengambil berat dalam memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukan, apatah lagi orang yang memperlukan itu adalah dari kaum kerabat, atau darah daging kita sendiri. Ini biasa terjadi dimana adik beradik yang susah dikampung cuba memohon pinjaman kewangan dari saudara yang berada dikota. tetapi kita tidak membantu mereka dengan memberi alasan yang direka reka, alasan wang kita tiada, sedangkan hakikatnya kita berada. Bantuan yang diminta bukan seberapa, tetapi kerana kita tamakkan harta, hingga sanggup berdusta, menyebabkan adik beradik yang susah kita lupa. Mereka kecewa dengan sikap kita. Ada adik beradik yang berada, tetapi tidak boleh dibawa bicara, apalagi untuk meminjam dan berhutang sebulan dua. Allah memberi peringatan kepada manusia sepertimana yang dijelaskan pada akhir surah al-ma’un ayat 7 yang berbunyi :

“Bahawa orang yang termasuk dalam kecelakaan atau neraka wail ialah orang yang enggan memberikan pertolongan kepada orang yang berhak mendapatnya”.

Tetapi apa yang mendukacitakan kita sebagai umat Islam hari ini, dimana hutang piutang yang diharuskan oleh Islam didalam kehidupan manusia hari ini, telah menjadi masalah besar pula dalam masyarkat kita, Orang kita rupanya lebih senang berhutang daripada membayarnya. Gulungan peniaga kedai runcit sering menjadi mangsa, lantaran ramai yang berhutang tetapi liat sekali melangsaikannya. Sebelum berhutang dengan wajah sedih minta disimpati, menceritakan penderitaan yang ditanggungi penuh emosi sekali, ditimpa musibah kanan dan kiri, dan akan berjanji akan membayar hutang pada masa yang dijanji. Namun setelah pinjaman diperolehi, janji tidak dikotai lagi, malah sering menghilangkan diri, Akhirnya keretakan perpisahan mereka pun berlaku, sudah tidak bertegur sapa walaupun berselisih bahu. Dulunya intimnya seperti isu dengan kuku, sekarang renggang dan yang bersaudara pula putus berpatah arang. Maka peminjam wang sepertii ini adalah dihukumkan berdosa kerana ada niat untuk tidak membayar ataupun melupakan hutang tersebut. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud:

“ Barang siapa berhutang sesuatu kepada seorang dan berniat akan membayarnya, maka Alah akan tunaikan niat, tetapi barang siapa mengambilnya dengan niat tidak mahu membayar maka Allah akan membinasakannya

Sidang jumaat yang berbahagia.

Hari ini dunia sudah semakin maju, dimana peluang dan ruang untuk mendapatkan hutang begitu mudah dan berluasa sekali. Bukan sekadar dibank bank, syarikat kewangan atau koperasi-koperasi, malah pinjaman begitu mudah diperolehi dimana-mana, termasuk dari agensi haram seperti Ceti dan Along bersepah mereka ini dimana mana.

Lantaran fenomina ini, ramai orang melayu yang terjebak dan terperangkap dibelenggu hutang, dan jika tidak dibendung ianya akan menjadi penyakit masyarakat yang bakal melemahkan ekonomi orang orang Islam. Sedangkan Islam melarang keras umatnya terjebak di dalam kancah hutang, Rasulullah berpesan “ Jauhilah dari hutang, kerana hutang itu menyempitkan kehidupan mu, tidak memerdekakan kehidupan sesaorang. Tidur seorang yang berhutang sukar melelap mata sedangkan disiang hari dihantui ketakutan, tidak bebas kemana mana kerana takut berjumpa dengan sipeminjam.yang kaya raya.

Hadirin muslimin yang dirahmati.

Satu lagi fenomina baru yang melanda umat Islam hari ini ialah hutang yang sengaja ditempah iaitu mempunyai banyak Kad Kredit. Terjemahannya kad kredit ialah Kad Hutang, Dimana mana sekarang pihak bank melobi dan berlumba lumba mencari pelanggan supaya memilih perkhidmatan Kad Kredit mereka. Dimana satu jumlah wang akan diluluskan kepada peminjam dan peminjam boleh menggunakan wang tersebut pada bila bila masa. Tujuan asalnya memang baik terutama dari segi keselamatan, kerana sesiapa yang ada kad kredit tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak kesana kemari, malah boleh digunakan ketika kecemasan, Tetapi orang kita rupanya tidak pandai menggunakan kad kredit, kita rakus berbelanja kerana anggapan kita bahawa wang pada kad kredit itu adalah wang kita, sedangkan hakikatnya wang tersebut adalah hutang yang direka, dan bukannya wang kita. Akhirnya berbelanja tidak mengikut piawan yang mengakibatkan menjerat tengkok sendiri, dimana pada setiap bulan terpaksa membayar balik pinjaman serta interest yang dikenakan. Yang akhirnya mengundang hidup ini menjadi musnah dan derita, kerana setiap bulan terpaksa membayar hutang yang direka. Yang dulunya tiada, tetapi kerana mengikut citarasa dunia moden, mengakibatkan diri dan keluarga menanggung sengsara. Mana tidaknya, saban malam mata sentiasa terbuka, resah dan gelisah kerana mengenangkan hutang disekeliling pinggang, otak berfikir sampai bila aku harus begini. Peribadatan tidak tentu hala malah pergaulan dengan rakan dan taulan tidak lagi ceria. Orang lain nyenyak tidur berdengkur hingga kepagi, kita tidur dalam keresahan, lengan tangan masih didahi, dahi berkerut kerut mengenangkan hutang yang ditanggungi. Baru teringat hidup tidak berkat kerana terlibat dengan riba lagi. Terjebak dengan dosa lagi, diwaktu orang lain pergi berjemaah subuh dimasjid, kita baru hendak tidur, dan tidak sedarkan diri kerana tidur nyenyak sekali. Tuan tuan sekalian, Mengapa menyiksa hidup begini. Hidup bukannya 2 kali tetapi hanya sekali. Oleh itu jangan menjadikan hobi suka berhutang, kerana ianya menyempitkan kehidupan dan mengundang hidup yang malang.

Tuan tuan yang dihormati.

Satu lagi kesilapan hutang yang paling besar yang tidak kita indah dan ambil peduli langsung ialah peningalan hutang hutang lapuk yang tidak kita langsaikan. Baik kepada ibubapa atau bapa mertua, terhadap kawan dan taulan, kepada taukeh kedai runcit atau pun hutang penggunaan perkhidmatan kepada swasta dan agensi kerajaan. Jika tuan tuan masih ingat dan mempunyai hutang yang masih belum dibayar walaupun bernilai RM1.00, maka ianya adalah wajib dibayar. Kerana itu kita melihat masyarakat melayu apabila berlaku kematian sesaorang, dan sebelum jenazah diusung kekuburan, maka akan bangun sesaorang dan memberi peringatan kepada hadirin. “ Tuan puan sekalian. Jenazah saudara kita ini, akan diusung ke kuburan, oleh itu jika jenazah ini mempunyai hutang piutang yang kami tidak ketahui maka tuntutilah hutang tersebut kepada waris warisnya, kerana sepertimana keterangan hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi yang berbunyi :

“Roh orang mukmin yang mati itu, akan tergantung tidak kemana, sehingga dibayar hutangnya diatas dunia ini”. dan keterangan sebuah hadis riwayat Muslim yang berbunyi:

“ Akan diampunkan Allah seluruh dosa orang yang mati syahid itu, kecuali hutangnya “

Tuan tuan sekalian.

Oleh itu marilah kita selidiki hutang lapuk kita. Kerana ada diantara kita yang pernah berhutang dengan peniaga kedai runcit atau individu yang beragama lain, maka fatwa mereka hutang tersebut tidak perlu dibayar kerana mereka itu kaum kafir. Mana mazhab yang berfatwa begitu dan mana dalil dan nas yang menghalalkan hutang tersebut. Walaupun ianya orang kafir, soal hutang tetap hutang dan ianya adalah wajib dijelaskan.

Kita juga kurang sedar, ada satu lagi ketegori hutang yang menyebabkan kita tidak boleh kesyurga Allah. Iaitu berhutang dengan agensi kerajaan seperti Tenaga Nasional, Jabatan Air, Telekom Malaysia, Bank Bank dan Insitusi Kewangan, Hospital dsb, yang pernah mengemukakan hutang hutang lapuk atau tertunggak yang masih belum dijelaskan oleh kita semua. Perkhidmatannya kita pakai tetapi bilnya tidak kita jelaskan, maka tuntutan dari agensi kerajaan seperti ini adalah dikira HUTANG LAPUK YANG WAJIB DIBAYAR. Berdosa jika kita tidak melangsaikan hutang tesebut. lebih lebih lagi jika yang berhutang itu telah meninggal dunia maka wajiblah waris yang masih hidup, membayar hutang tersebut. Diperingatkan juga kepada orang yang telah bersara wajib atau mengambil skim VSS tetapi masih mempunyai baki pinjaman computer, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman koperasi atau pinjaman dari bank bank, maka perlulah disegerakan menjelaskan hutang tersebut. Kita semua nak berdalih apa dengan Allah nanti diakhirat kelak. Apakah itu bukan hutang yang telah kita tinggalkan.

Oleh itu setiap kita disini perlu merasa insaf dan bersyukur jika mana mana ada agensi kerajaan atau swasta yang memberitahu kita bahawa kita mempunyai tunggakan hutang perkhidmatan dengan agensi mereka. Pengurusan kredit mereka patut kita sanjungi kerana dengan pemberitahuan ikhlas dari mereka maka kita boleh menjelaskan hutang tersebut dan membuatkan kita tidak lagi menanggung dosa, dan seandai kita meninggal dunia maka roh kita tidak berterbangan kesana kemari dan tidak ditempelak oleh anak anak sendiri kerana meninggalkan hutang bil bil tergunggak yang yang perlu mereka jelaskan.

Oleh itu para jemaah yang saya kasihi sekalian, ambillah peringatan ini sebagai peringatan yang bersunguh-sungguh, dan jangan mempermainkan masalah hutang piutang yang telah kita lakukan. Ingatlah tuan tuan sekalian, roh kita nanti tidak akan kemana mana, tidak keatas dan tidak kebawah, sehingga hutang hutang tersebut dijelaskan. Maka barulah roh kita bersemadi aman. Maka sebelum kita meninggal pergi dunia ini, cari dan selidiklah dengan terperinci mana mana hutang yang belum dijelaskan, Lunaskan segera. Carilah orang yang kita hutangi itu diceruk atau dirantau mana sekali pun, bayar dan mintailah keampunan jika kita melakukan kesalahan dosa kepada mereka. Biar kita mati, mati didalam keadaan sepertimana ketika kita dilahirkan dahulu. Suci bersih dan tanpa berdosa sedikit pun.

Khutbah ke 2

Sekali lagi mimbar memperingatkan supaya mempertingkatkan ketaqwaan itu dijadikan sebagai agenda utama didalam setiap diri, semuga dengan ketaqwaan dengan amalan yang iklas akan menjadikan kita sebagai insane yang cemerlang didunia dan akhirat.

Sidang jumaat yang dirahmati.

Ramai diantara kita yang tidak mengambil berat tentang kesan hutang kepada kehidupan seharian kita. Kerana hutang ada diantara kita yang pernah bersahabat baik kini berpatah arang, Kerana hutang ada diantara adik beradik yang tidak bertegur sapa hingga kemati. Kerana hutang ada peniaga yang terpaksa menggulung tikar. Dan kerana hutang juga hidup sesaorang akan merana.

Satu fenomina berisiko tinggi hari ini, ialah menjadi penjamin kepada peminjam. Tidak ditandatangani ianya kawan, tetapi setelah ditandatangi ianya akan mengundang kecelakaan. Kes ini dianggap membunuh kawan sendiri ini berlaku dimana mana. Dipejabat kerajaan atau pejabat swasta. Peranan penjamin merupakan sebahagian syarat meluluskan pinjaman sesaorang. Tetapi apa yang berlaku hari ini, dimana setelah pinjaman kewangan diluluskan, maka ada diantara peminjam tadi yang berhenti kerja, diberhentikan atau mendapat tawaran kerja ditempat lain. Ini menyebabkan agensi kewangan atau koperasi koperasi gagal mencari sipeminjam dan terpaksa mengarahkan penjamin penjamin membayar segala hutang yang dijamin tadi. Sedangkan sipeminjam sudah tidak nampak batang hidung lagi. Pernah berjumpa sekali sekali, dan mereka berjanji akan melangsaikan semua sekali, Bohong dan penipu sekali, yang akhirnya sipeminjam tidak dapat dikesan lagi, pergi kerumah pintu pagar berkunci dengan mangga yang digari, jiran kata dah balik negeri. .Kerja hina seumpama ini adalah perubatan dzalim terhadap kawan sendiri. Kenapa ada antara kita yang sanggup melakukan penginayaan kepada rakan sendiri. Kita bersenang lenang dengan wang yang dipinjami, sedangkan kawan sendiri kurus kering membayar hutang yang dijamini. Perbuatan seumpama ini adalah kejam dan tunggu sahaja diakhirat nanti atas perbuatan dzalim yang dilakui.


sumber www.bakit.com.my

0 comments: