BLOGGER TEMPLATES AND MySpace 1.0 Layouts »

Monday, May 3, 2010

Pelaburan cepat ‘kayap'


PELBAGAI kisah penipuan yang berpaksikan wang kerap dilaporkan di dada akhbar sejak kebelakangan ini hingga ada kerugian jutaan ringgit dan jatuh muflis.
Jika sebelum ini kita didedahkan taktik penipuan skim piramid, pelaburan wang asing dan skim pelaburan internet, kini timbul satu lagi penipuan yang cukup licik serta membimbangkan membabitkan pelaburan perniagaan berkonsepkan pertanian antaranya penternakan ikan keli, lintah, kambing dan cacing. Keluhan 3,000 mangsa skim pelaburan penternakan cacing membabitkan pelabur dari Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak yang kerugian RM25 juta, baru-baru ini, membuka satu lagi episod baru betapa mudahnya masyarakat kita terpedaya sehinggakan wang pencen, wang simpanan, wang pinjaman dan mungkin wang ‘along’ turut hangus. Taktik syarikat terbabit melesapkan wang pelabur cukup mudah apabila hanya menyebarkan risalah penternakan cacing dan penghasilan baja vermikompos organik dengan usaha sama koperasi yang menguntungkan bagi menarik minat pelabur.


Antara mangsanya, dua pesara yang mendakwa melabur RM150,000 hasil simpanan serta gratuiti mereka sejak September tahun lalu sedangkan keuntungan dijanjikan hanya tinggal janji.


Ketua Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah, melihat perkembangan ini sebagai penipuan terancang dan perlunya penguatkuasaan undang-undang untuk mengajar si penipu.


Katanya, sepanjang 2009, pihaknya menerima lebih 300 aduan berkaitan pelaburan antaranya membabitkan penternakan kambing, lintah, ikan keli dan mesin air. Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dilakukan, syarikat terbabit cukup licik menipu pelabur termasuk membawa mangsanya menyertai seminar di hotel mewah sebagai gimik mengaburi mata mereka selain berselindung di sebalik label agensi kerajaan yang didakwa rakan strategik bagi memudahkan pinjaman serta latihan perniagaan diuruskan. “Pelabur atau individu yang bijak perlu meneliti sebarang tawaran serta pelawaan berkaitan dengan apa-apa juga pelaburan, jangan terus buat keputusan terutamanya dengan helah yang digunakan untuk menipu orang ramai. “Kebanyakan syarikat pelaburan ini cuba mengaut keuntungan atas angin dengan tidak memberikan maklumat bercetak bagi memudahkan mereka memerangkap pelabur yang terpengaruh,” katanya. Beliau berkata, 60 peratus daripada mangsa membuat laporan berhubung kes penipuan membabitkan pelaburan seperti itu membabitkan orang Melayu yang baru belajar berniaga.


Berdasarkan 32,000 aduan yang diterima NCCC sepanjang tahun lalu, penipuan membabitkan pelaburan perniagaan tersenarai dalam 10 kategori tertinggi daripada 26 kategori aduan.


Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ishak Abd Rahman menasihatkan orang ramai supaya menyiasat latar belakang sesuatu syarikat pelaburan sebelum membuat keputusan. “Saya berpendapat kebanyakan mangsa ini sebenarnya tidak memahami konsep perniagaan dan hanya melihat kepada keuntungan semata-mata, mereka membuat pelaburan tanpa melakukan siasatan latar belakang syarikat atau merujuk rakan niaga untuk mengetahui ia berjaya atau tidak. “Tiada untung segera dalam perniagaan kerana ia memerlukan pengurusan yang betul serta produk sesuai dengan kehendak pasaran. “Adalah malang jika kita terus melabur tanpa menyelidik latar belakang perniagaan kerana ia penting untuk meminimumkan risiko ditipu atau rugi,” katanya. Pengarah Kanan Penguatkuasaan SSM, Muhammed Redzuan Abdullah, berkata penganjuran skim pelaburan perniagaan dikawal selia Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan skim dianjurkan tidak berunsurkan penipuan dan merugikan pelabur melalui peraturan ditetapkan.


Menurutnya, penjualan plot tanah dalam skim kongsi tani antara jenis skim terbaru yang didaftarkan di SSM dan paling popular di negara ini pada masa ini. “Perkembangan skim perniagaan berkonsepkan pelaburan bersama turut didorong usaha kerajaan menyeru semua usahawan tempatan berfikiran kreatif dalam mempelbagaikan bidang perniagaan dan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempromosi perniagaan berkaitan asas tani yang mempunyai potensi untuk dikomersilkan,” katanya. Beliau berkata, sepanjang 2009, sebanyak 91 kes dipantau SSM selepas mendapat maklumat menerusi agensi dan aduan orang ramai. Antara perniagaan yang diadukan membabitkan pelaburan dalam penanaman serai, plot kelapa sawit, herba, cendawan tiram, vanilla, rumpai laut, herba dan cili. Selain itu, terdapat juga aduan berkaitan dengan pelaburan dalam bidang penternakan cacing, lembu import, ikan keli, ikan arowana, burung layang-layang, itik, lintah, ketam dan lintah. Dalam kebanyakan kes yang diadukan kepada SSM, modus operandi skim terbabit adalah seperti berikut: q Secara amnya, jenis perniagaan ditawarkan membabitkan produk pertanian popular dan banyak mendapat liputan media. q Kebiasaannya iklan mengenai skim ditawarkan adalah melalui media, laman web, brosur, tampalan notis di tempat awam, panggilan telefon dan secara lisan melalui peserta yang menyertai skim berkenaan. q Taklimat mengenai skim ditawarkan akan dibuat sama ada di pejabat yang didakwa pejabat operasi skim berkenaan atau di mana-mana tempat lain ditentukan penganjur seperti di hotel. q Untuk meyakinkan orang ramai untuk melabur, mereka diarahkan menandatangani dokumen atau kontrak sebagai dokumen ikatan antara penganjur dan peserta. q Terdapat kes yang dirujuk ke SSM mendapati pelabur juga dimaklumkan lokasi perniagaan dan dibawa melawat ke tapak projek yang didakwa akan dibangunkan oleh penganjur. q Kebiasaannya, pelabur akan menerima pulangan daripada pelaburan yang dibuat dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum penganjur menghilangkan diri. Sehubungan itu, orang ramai diminta memastikan latar belakang dan identiti individu atau syarikat yang mendakwa sebagai penganjur skim pelaburan atau ejen yang dilantik untuk mengutip wang pelaburan melalui agensi penguatkuasaan negara. Mereka juga dinasihatkan membuat semakan terhadap jenis skim pelaburan perniagaan dan syarikat yang terbabit di SSM sebelum membuat pelaburan dalam skim berkenaan. Jika pelabur ditipu penganjur skim pelaburan perniagaan sama ada skim berkenaan didaftarkan di SSM atau tidak, mereka bolehlah membuat aduan dengan mengemukakan fakta dan dokumen sokongan berkaitan skim berkenaan bagi memudahkan proses mengenalpasti jenis kesalahan. Terdapat dua kaedah perundangan boleh diambil sekiranya peserta ditipu penganjur iaitu melalui tindakan perundangan bagi kesalahan jenayah atau tindakan perundangan secara sivil oleh pelabur. Sekiranya di bawah bidang kuasa SSM, antara tindakan boleh diambil ialah mendakwa individu terbabit ke mahkamah di bawah Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan. Bagi kesalahan membabitkan skim didaftarkan, mereka yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda RM 250,000 atau kedua-duanya sekali. Orang ramai juga boleh menghubungi Seksyen Skim Kepentingan SSM untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta semakan ke atas skim pelaburan bersama yang didaftarkan di SSM.

sumber harian metro.

0 comments: