BLOGGER TEMPLATES AND MySpace 1.0 Layouts »

Monday, May 3, 2010

Pemandu teksi jutawan penipu

SUBANG JAYA: Pemandu teksi jutawan. Itulah gelaran bagi seorang pemandu teksi berusia lewat 40-an yang memperdaya ratusan mangsa kononnya menjadi ejen menjual rumah kos sederhana, sejak lebih lapan tahun lalu.
Malah, pemandu teksi yang berpura-pura individu berperwatakan baik dan hidup serba kekurangan itu menikmati kemewahan hasil penipuannya itu kerana dia dikatakan ‘kebal’ daripada mangsanya.


Difahamkan, lelaki itu mendapat ‘kekebalan’ berkenaan selepas membuat beberapa laporan polis mendakwa dirinya diburu along, selain sering dibelasah kumpulan berkenaan.


Difahamkan, lelaki terbabit pernah bekerja di syarikat pemaju hartanah di Puchong dan menjadikan pejabat syarikat berkenaan sebagai tempat urusan jual beli rumah, selain menyediakan syarikat guaman berdaftar.


Malah, kebanyakan mangsa mendakwa terpedaya berikutan urusan jual beli dan dokumentasi yang dibuat begitu meyakinkan mereka.


Mendedahkan perkara itu, wakil lebih 55 mangsa, Datuk Samson Maman, berkata lelaki terbabit menjadi ‘jutawan segera’ hasil penipuan licik dilakukannya.


“Lelaki ini individu cukup licik kerana menjadikan galeri pameran syarikat hartanah di Puchong sebagai tempat berurusniaga dengan pelanggannya.


“Selalunya, waktu urusan dilakukan ketika waktu rehat ketika kebanyakan pekerja lain meninggalkan pejabat makan tengah hari.


“Bagi meyakinkan mangsa, dia membawa mereka ke syarikat guaman sebelum melakukan urusan dokumentasi selepas menerima deposit antara RM1,000 hingga RM20,000,” katanya.

Menurut Samson, dia cukup hairan bagaimana sebuah syarikat guaman berdaftar gagal memberitahu mangsa bahawa suspek seorang penipu melainkan mereka turut terbabit sama dalam urusan berkenaan.


“Mana tidaknya, selepas membuat pembayaran deposit, pihak guaman mengenakan caj RM550 untuk tujuan dokumentasi,” katanya.


Samson berkata, selepas mangsa berang kerana tidak mendapat rumah dijanjikan, selain terpaksa menunggu terlalu lama, mereka membuat pemeriksaan dengan pihak pemaju sebelum mendapati kediaman terbabit dijual kepada individu lain.


“Hasil semakan mendapati satu lot rumah dijual bukan kepada seorang individu sebaliknya dua atau tiga mangsa.

“Bila kita (mangsa) mempertikaikan perkara berkenaan, pihak pemaju mendakwa ejen yang juga pemandu teksi itu bekas pekerjanya, selain dibuang kerja atas pelbagai kes penipuan.


“Jika dia sudah dibuang, bagaimana pemandu teksi itu boleh melakukan urusan di dalam galeri pameran itu secara bebas...inilah persoalan yang timbul,” katanya.


Difahamkan, dalam kes terbaru awal tahun lalu, empat lagi mangsa diperbodohkan lelaki terbabit menggunakan modus operandi sama.


Samson berkata, sehingga kini sudah lebih 50 laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Puchong berhubung kegiatan haram berkenaan namun lelaki durjana itu masih bebas dan menikmati kekayaan hasil penipuannya.


“Kebanyakan mangsa tidak dapat berurusan dengan suspek kerana bimbang dituduh along kerana lelaki itu membuat laporan polis mendakwa dirinya sering diganggu kumpulan berkenaan selain dipukul mereka.


“Saya mewakili lebih 55 mangsa merayu pihak berkuasa memandang serius kejadian ini selain memastikan siasatan lebih teliti dilakukan kepada semua pihak dalam menegakkan keadilan,” katanya.

sumber harian metro

0 comments: